ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta.
myMetro

Tapah : Seorang guru wanita maut manakala rakannya cedera selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 44, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat Kampung Temoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa, Zaikiah Hanum Albert Hassan, 53, yang juga isteri kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah meninggal dunia akibat parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Mohd Razali Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu rakan mangsa yang juga seorang guru dalam perjalanan
dari Tapah menghala
ke Kampar.

Katanya, kereta berkenaan dipercayai gagal dikawal dan terbabas
ke kiri jalan sebelum melanggar tiang elektrik menyebabkan kedua-dua mangsa terperangkap dalam kenderaan itu.

“Rakan mangsa yang juga seorang guru berusia 48 tahun hanya cedera ringan iaitu luka di badan manakala mangsa parah di kepala.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59

kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.35 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua mangsa masih berada dalam kereta sebelum usaha mengeluarkannya dijalankan dan mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans.

Keterangan Gambar:

PIX: Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta Kancil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:30 AM