PENIAGA waarung makan di tapak parkir HSAH dikompaun RM10,000 kerana membenarkan pelanggan makan di premis itu, hari ini. FOTO ihsan polis.
PENIAGA waarung makan di tapak parkir HSAH dikompaun RM10,000 kerana membenarkan pelanggan makan di premis itu, hari ini. FOTO ihsan polis.
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Peniaga warung dikompaun RM10,000 kerana membenarkan pelanggan makan dalam premis berkenaan di tapak tempat letak kereta Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika pemeriksaan dilakukan pada 9.45 pagi, terdapat beberapa pelanggan sedang makan dan mereka bertempiaran melarikan diri.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan pasukan pemantau Covid-19 dari Balai Polis Sungai Petani.

"Berikutan itu, peniaga terbabit dibawa ke balai polis untuk tindakan kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standart (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Lelaki itu didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana membenarkan pelanggan makan di kedai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, kompaun dikeluarkan di bawah Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Beliau berkata, pihaknya tidak berkompromi dan tidak memilih 'bulu' dan akan mengambil tindakan kompaun sekiranya melanggar SOP ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 12:53 PM