GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Tindakan dua lelaki yang cuba curi keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menggunakan lorong tikus di kawasan kelapa sawit berhampiran Taman Bandar Baharu, Sungai Lalang di sini gagal apabila mereka ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kedua-dua lelaki berusia 31 dan 28 tahun itu masing-masing dikompaun RM3,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPD.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 11.20 pagi hari ini ketika anggotanya menjalankan pemantauan Ops Covid-19 di sekitar kawasan Bedong, di sini, sebelum menahan mereka.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan didapati keluar dari kawasan PKPD tanpa kebenaran dari pihak berkuasa.

"Berikutan itu, mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan kompaun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu kemudian diterangkan supaya menjelaskan kompaun yang dikenakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di pusat kesihatan daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 3:46 PM