GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Dua pelajar memberi alasan merentas daerah dari Kuala Muda ke daerah ini hanya untuk bersiar-siar tanpa surat kebenaran polis mengundang padah apabila masing-masing dikompaun RM5,000.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, dua pelajar terbabit masing-masing lelaki dan wanita berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan pada jam 10.45 pagi tadi oleh pasukan pemantau Covid-19 ketika mereka menaiki sebuah Proton Saga di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen pergerakan rentas daerah dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan disyaki melakukan kesalahan rentas daerah dari Kuala Muda ke Yan.

"Pasangan itu memberi alasan hanya datang berjalan-jalan di daerah ini tanpa sebarang surat kebenaran polis.

"Mereka mengaku melanggar SOP PKP tanpa surat kebenaran polis.

"Berikutan itu, mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahnaz berkata, kompaun dikeluarkan maksimum RM5,000 terhadap setiap seorang di bawah Peraturan 4(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (No 2) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 4:37 PM