AZISMAN melakukan tinjauan di SJR. FOTO Ihsan Polis
AZISMAN melakukan tinjauan di SJR. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jumlah kenderaan berada di atas jalan di seluruh negara berkurangan secara drastik berikutan kewujudan sekatan jalan raya (SJR) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, aliran trafik di jalan raya seluruh negara juga terkawal dan lancar.

"Aliran trafik seluruh negara berjalan lancar seperti lawatan saya di dua SJR di Jalan Kapar serta Plaza Tol Bukit Raja, Klang, Selangor, hari ini, yang kebiasaan sibuk dan sesak sebelum ini.

"Malah, jumlah kenderaan agak berkurangan ketika ini sekali gus membuktikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan menghabiskan cuti raya di rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, beliau yakin orang ramai akan terus mengekalkan tahap pematuhan bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan di SJR Plaza Tol Bukit Raja menghala ke Kuala Lumpur serta SJR Batu 13 Jalan Kapar dan Pekan Kapar, Klang, Selangor.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JSPT Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin.

Dalam sesi lawatan itu, beliau turut memberikan cenderahati dan bekalan minuman serta makanan kepada petugas daripada pihak JSPT sebagai tanda penghargaan di atas pengorbanan pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan.

AZISMAN menyerahkan sumbangan hamper cenderahati Aidilfitri kepada anggota polis di SJR. FOTO Ihsan Polis
AZISMAN menyerahkan sumbangan hamper cenderahati Aidilfitri kepada anggota polis di SJR. FOTO Ihsan Polis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 5:23 PM