Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Laluan Lebuhraya KL-Karak, hari ini, sesak dengan kenderaan menuju ke ibu negara.

Tinjauan Harian Metro selama dua jam bermula 2 petang tadi mendapati kenderaan beratur panjang menuju ke sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Gombak arah pusat bandar Kuala Lumpur.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi mengesahkan, antara punca kesesakan adalah kerana SJR Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memeriksa kesalahan aktiviti merentas negeri yang diperketatkan.

Berdasarkan maklumat daripada Pusat Pengurusan Trafik LLM, setakat 3 petang berlaku kesesakan 3.9 kilometer (km) menghala ke SJR sebelum Plaza Tol Gombak arah barat Lebuhraya KL - Karak.

"Turut sesak sejauh 700 meter menghala ke sekatan jalan raya selepas Plaza Tol Bentong arah timur.

"Apa pun, LLM ingin menasihati pengguna supaya berhati-hati semasa memandu di lebuh raya.

"Sila patuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan termasuk ketika berada di kawasan rehat dan rawat serta hentian sebelah lebuh raya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, keadaan itu menunjukkan masih ramai berdegil melakukan aktiviti rentas negeri.

Khamis lalu, beliau dilaporkan berkata, pihaknya memperketat penguatkuasaan kawalan SJR di seluruh negara dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19, sekali gus memastikan tidak berlaku kluster antara negeri.

Untuk itu katanya, semua Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri diarah memastikan anggota dan pegawai mereka mengawal setiap SJR dengan lebih ketat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, sudah tiada SJR antara Kuala Lumpur dan Selangor.

"KL dan Selangor tak dikira sempadan, tiada SJR.

"Hanya Putrajaya sahaja yang buat SJR.

"Orang dari KL dan Selangor nak masuk Putrajaya perlu surat rentas sempadan," katanya.

Selain itu, katanya, sudah tiada lagi SJR di Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Duta selepas 7 malam Jumaat lalu.

Kompaun RM10,000 boleh dikenakan jika ingkar SOP di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021.

KESESAKAN luar biasa apabila setiap kenderaan diperiksa dengan ketat ketika melalui SJR di Plaza Tol Gombak menuju ke pusat bandar raya. FOTO Aizuddin Saad
KESESAKAN luar biasa apabila setiap kenderaan diperiksa dengan ketat ketika melalui SJR di Plaza Tol Gombak menuju ke pusat bandar raya. FOTO Aizuddin Saad

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 4:45 PM