Noorzainy ketika pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di terminal pengangkutan bersepadu bagi wilayah utara, Penang Sentral di sini. FOTO DANIAL SAAD
Noorzainy ketika pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di terminal pengangkutan bersepadu bagi wilayah utara, Penang Sentral di sini. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Sebanyak 30 pasukan taskforce bakal memantau kawasan perumahan sekitar daerah Seberang Perai Utara untuk memastikan tiada aktiviti ziarah dari rumah ke rumah sepanjang Aidilfitri bermula esok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ia dilaksanakan selari dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurutnya, berikutan itu, orang awam dinasihatkan tidak mengingkari arahan dan bersabar untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

"Selain itu, polis juga menempatkan 75 pegawai dan anggota untuk membuat pemantauan di masjid serta surau dalam daerah ini supaya mematuhi SOP solat sunat Aidilfitri yang ditetapkan.

"Semua yang dilakukan ini demi kebaikan masyarakat dan berharap umat Islam yang menyambut Aidilfitri dapat meraikan perayaan kali ini dengan penuh kesederhanaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata, sebanyak 12 sekatan jalan raya (SJR) didirikan di antara sempadan Pulau Pinang/Kedah termasuk sempadan daerah bagi menyekat aktiviti rentas negeri dan daerah.

"Pada masa sama, polis akan memantau semua kenderaan supaya tidak membawa lebih daripada tiga orang dalam satu kereta.

"Bagi menyekat cubaan merentas menggunakan laluan tikus pula sebanyak enam SJR bergerak diaturkan di mana semua laluannya sudah dikenal pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 6:03 PM