NOORZAINY (kiri) memantau penugasan anggota di SJR Plaza Tol Bertam di sini. FOTO Danial Saad
NOORZAINY (kiri) memantau penugasan anggota di SJR Plaza Tol Bertam di sini. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Enam sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Pulau Pinang dan Kedah akan dilaksanakan dalam usaha memastikan tiada cubaan rentas negeri dibuat orang awam terutamanya menjelang Aidilfitri nanti.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, susulan peningkatan kes Covid-19 termasuk tiada pengumuman rentas negeri diumumkan maka polis akan memperketatkan pemeriksaan bagi mengawal sempadan negeri.

"Tambahan pula, kini beberapa daerah di Kedah dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, polis juga mempunyai empat SJR bergerak yang akan menjalankan pemantauan 24 jam di empat laluan tikus yang dikenal pasti digunakan orang ramai bagi mengelak ditahan polis.

"Laluan itu terdiri daripada jalan kampung dan kawasan bendang yang kita akan sentiasa pantau dari semasa ke semasa," katanya selepas mengadakan pemantauan SJR di Plaza Tol Bertam, di sini.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihaknya turut menambah pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tertumpu di lokaliti zon merah.

"Polis akan turun memantau supaya masyarakat patuh pada SOP sekali gus mengurangkan risiko penularan Covid-19.

"Setakat ini, terdapat 27 pasukan pemantau SOP dan kita bercadang menambah sehingga 40 pasukan pemantau menjelang Aidilfitri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 1:33 PM