Pusat membeli belah, Aeon Mall Tebrau City mula dibuka sejak pagi tadi dengan SOP PKPB yang lebih ketat. FOTO OMAR AHMAD
Pusat membeli belah, Aeon Mall Tebrau City mula dibuka sejak pagi tadi dengan SOP PKPB yang lebih ketat. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


TIDAK sampai 24 jam notis penutupan ke atas pusat membeli-belah Aeon Mall Tebrau City Johor Bahru dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pusat beli-belah itu kini dibuka semula bermula hari ini.

Difahamkan, hanya 100 pelanggan sahaja dibenarkan masuk pada satu-satu masa dengan sistem nombor giliran dan kawalan lebih ketat dilaksanakan di premis berkenaan.

Menerusi laman sosial rasmi Facebook Aeon Mall Tebrau City menyatakan, premis itu dibuka semula selepas mendapat persetujuan daripada KKM sejak pagi tadi.

"Kami akan terus mematuhi Standard Prosedur Operasi (SOP) KKM dalam melaksanakan langkah berjaga-jaga yang diperlukan termasuk pemeriksaan suhu, penggunaan sanitasi tangan, kakitangan yang memakai pelitup mulut serta kawalan penjarakan sosial pengunjung.

"Sebagai tambahan, pegawai yang menjaga jarak sosial akan melakukan rondaan kerap di pusat beli-belah. Ia bertujuan mengingatkan pelanggan supaya menjaga jarak selamat semasa dalam barisan," kata kenyataan itu.

Terdahulu, notis arahan penutupan pusat beli belah yang dikeluarkan KKM memaparkan arahan penutupan bermula jam 4 petang 25 Mei sehingga 1 Jun tular di media sosial.

Penutupan itu dipercayai bertujuan menjalankan kerja mencegah bermulanya atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit.

Netizen mendakwa arahan penutupan pusat beli belah terkenal itu berikutan ia dikunjungi terlalu ramai pengunjung sehingga menyebabkan kawalan selain penjarakan sosial sukar dilakukan dengan berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 8:18 PM