Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagaimanapun, pihaknya akan bertimbang rasa dalam tempoh tiga hari pertama ini supaya masyarakat membiasakan diri dengan pelaksanaan semula PKP berkenaan.

"Ini adalah hari pertama, kadar kepatuhan masyarakat pada tahap 97 hingga 98 peratus, namun hari keempat kita (polis) akan memperkemaskan lagi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran SOP.

"Tiga hari pertama ini kita akan bertimbang rasa, hari keempat kita akan tegas. Masyarakat diminta untuk memastikan SOP dipatuhi.

"Bagi peringkat permulaan, sebanyak 46 lokasi sekatan jalan raya (SJR) ditempatkan di seluruh negeri dan lima lokasi lain akan ditambah dalam tempoh terdekat.

"Sehingga kini, seramai 204 pegawai dan anggota polis terbabit dalam penugasan di semua SJR dengan dibantu seramai 35 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di SJR Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Skudai, di sini hari ini.

Beliau berkata, mulai esok, seramai 351 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada Briged Tujuh Infantri Malaysia akan menyertai operasi penguatkuasaan di semua SJR di seluruh Johor.

Mengenai tular di Facebook (FB) berhubung dakwaan orang awam mengenai tindakan tegas polis mengenakan kompaun di tempat awam walaupun tidak terlalu ramai orang, Ayob Khan berkata, SOP sudah dikeluarkan dan masyarakat perlu mematuhinya.

DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Asisten Komisionen Rupeah Abd Wahid memeriksa dokumen perjalanan pemandu kenderaan. FOTO Zain Ahmed
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Asisten Komisionen Rupeah Abd Wahid memeriksa dokumen perjalanan pemandu kenderaan. FOTO Zain Ahmed

"Isunya bukan sebab terlalu ramai atau tidak ramai, kita sudah keluarkan SOP. Memang boleh berrekreasi atau bersukan, tapi tidak lebih daripada dua orang.

"Kalau lebih, kita akan ambil tindakan. Difahamkan, dalam kes itu, dua individu tidak pakai pelitup muka, selain polis terpaksa bawa balik ke balai untuk 'issued' (dikenakan) kompaun.

"Jadi selepas ini janganlah complaint (membuat aduan) kata kita (polis) tegas, itu memang kita akan tegas. Ikut peraturan, ikut SOP, kalau tidak kita akan beri kompaun, tidak ada tolak ansur," katanya.

Terdahulu, tular kenyataan orang awam berhubung insiden dikompaun susulan tidak memakai pelitup muka ketika bermain belon buih di sebuah taman awam yang kurang daripada 10 orang di Iskandar Puteri, kelmarin.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 8:11 PM