Sebahagian daripada 46 pengunjung di sebuah pusat hiburan di Jalan Penang, Georgetown ketika serbuan polis pagi hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Sebahagian daripada 46 pengunjung di sebuah pusat hiburan di Jalan Penang, Georgetown ketika serbuan polis pagi hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Seramai 46 pengunjung di sebuah pusat hiburan di Jalan Penang di sini, dikenakan kompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam serbuan 1 pagi hari ini itu, ada yang cuba meloloskan diri dengan memanjat tembok premis bagi melepaskan diri sebaik polis tiba tetapi gagal.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua yang diambil tindakan itu terdiri daripada 30 lelaki dan 17 wanita berusia antara 20 hingga 57 tahun.

Menurutnya, mereka itu didapati berhibur di premis berkenaan dalam keadaan sesak tanpa menghiraukan penjarakan fizikal.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pusat hiburan yang ingkar terhadap SOP PKP bagi memastikan pematuhannya berada di tahap tertinggi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Soffian lagi, kesemua mereka dikompaun sebanyak RM5,000 seorang kerana melanggar SOP PKPB yang dilaksanakan ketika ini.

"Kompaun sebanyak RM50,000 turut dikeluarkan kepada pemilik premis atas kesalahan yang sama.

"Anggaran kompaun yang dikeluarkan kepada pemilik premis dan kesemua pengunjung pusat hiburan itu adalah sebanyak RM280,000," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 10:47 AM