Polis mengeluarkan kompaun kepada individu yang tiada penjarakan sosial di sebuah kedai makan di Manjung. FOTO Ihsan PDRM
Polis mengeluarkan kompaun kepada individu yang tiada penjarakan sosial di sebuah kedai makan di Manjung. FOTO Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Seramai 10 individu yang menjamu selera di sebuah kedai makan, di sini, dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pemilik premis berkenaan turut dikompaun kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan.

"Kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis dan 10 pelanggannya kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial.

"Premis itu juga ditutup serta-merta oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan di bawah PKPB," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, polis sentiasa membuat pemantauan ke atas premis perniagaan dan akan mengeluarkan saman serta kompaun tanpa kompromi sekiranya didapati masih ingkar SOP yang ditetapkan.

"Sepanjang tempoh PKPB yang berkuat kuasa pada Rabu lalu hingga hari ini, sebanyak 38 kompaun dikeluarkan atas kesalahan itu di daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 9:40 PM