GAMBAR hiasan. FOTO FAIZ ANUAR
GAMBAR hiasan. FOTO FAIZ ANUAR
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jumlah Orang Bekerja Sendiri (OBS) termasuk pekerja gig yang mendapat perlindungan sosial daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilaporkan meningkat.

Perkeso dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan jumlah OBS aktif mendaftar dan mencarum dengan Perkeso bertambah daripada 2,338 individu pada 2017 kepada lebih 71,000 pada 2019.

"Pada 2020, jumlah ini meningkat kepada lebih 80,000 dan setakat ini, jumlah OBS aktif melonjak kepada lebih 142,000 individu.

"Lonjakan ini hasil pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting dimainkan mereka yang bekerja sendiri termasuk pekerja gig terutama dalam mendepani pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, pengiktirafan diberikan kerajaan membolehkan Perkeso dengan sokongan Kementerian Kewangan menerusi pelbagai pakej rangsangan diperkenalkan merangka tiga program padanan caruman bagi perlindungan sosial ke atas golongan bekerja sendiri.

Katanya, ia termasuk PenjanaGig di bawah pakej Penjana bagi pekerja GIG; SPS Lindung di bawah Belanjawan 2021 bagi GIG riders, sukarelawan dan pekerja Contract For Service dalam sektor awam serta SPS Prihatin Wanita di bawah pakej PEMERKASA bagi usahawan dan pekerja wanita yang bekerja sendiri.

"Majlis Pekerjaan Negara (NEC) turut menyokong dan memperakui perancangan Perkeso untuk memperluaskan liputan perlindungan keselamatan sosial yang diberikan kepada pelbagai kumpulan OBS lain melalui beberapa inisiatif kolaborasi bersama beberapa pihak.

"Ini termasuk Kementerian Pengangkutan atau persatuan pekerja seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, sasaran Perkeso adalah melindungi 200,000 pekerja aktif daripada kategori OBS menjelang akhir tahun ini.

Katanya, bagi memperkukuhkan rangka perlindungan sosial kepada golongan OBS, Perkeso bersama Kementerian Sumber Manusia merancang untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan [Akta 800] yang akan memberikan mereka perlindungan apabila berlaku kehilangan pekerjaan atau pendapatan akibat kejutan ekonomi, bencana alam dan lain-lain.

"OBS yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan akan turut diberi akses kepada perkhidmatan pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs dan program pasaran buruh aktif di bawah Perkeso yang akan membantu dalam mengurangkan tempoh masa pengangguran juga peningkatan kerjaya mereka.

katanya.

"Mengenai Program Kerjaya UP dirangka Perkeso bersama Kementerian Sumber Manusia khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar bandar pula, Perkeso menghargai persetujuan NEC supaya ia diperluaskan secara lebih agresif dengan sasaran lebih meluas bagi membantu meningkatkan sosioekonomi golongan sasar program itu.

"Program membabitkan 14 kementerian, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini akan melaksanakan lima aktiviti utama iaitu temu duga, kaunseling kerjaya, latihan kemahiran, bantuan akses kepada pembiayaan serta pendaftaran perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 8:24 PM