Gambar hiasan, pendaftaran bagi Program Inisiatif Pengambilan Pekerja Penjana. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan, pendaftaran bagi Program Inisiatif Pengambilan Pekerja Penjana. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 150,597 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 12 program yang dilaksanakan kerajaan setakat 23 April lalu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, kejayaan itu melebihi jumlah unjuran kumulatif setakat April 2021 dengan sasaran kerajaan tahun ini adalah mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan.

"Usaha kerajaan meningkatkan pelaburan dalam negara berjaya mewujudkan 33,907 pekerjaan baharu dan 76 peratus daripadanya adalah dalam kategori mahir dan separuh mahir.

"Ini adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu hasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021," katanya dalam hantaran Facebooknya di sini, hari ini.

Dalam hantaran itu Muhyiddin memaklumkan beliau hari ini mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang diadakan secara persidangan video.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri dimaklumkan secara terperinci berkaitan inisiatif Pengekalan dan Penjanaan Pekerjaan di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi.

"Mesyuarat juga dimaklumkan berkenaan isu dan cabaran pekerjaan dalam sektor tidak formal. Hasil daripada 6,202 program libat urus yang dijalankan, bilangan orang bekerja sendiri (OBS) termasuk pekerja Gig yang mendapat Perlindungan Sosial dari Perkeso menunjukkan peningkatan daripada 71,000 pada tahun 2019 kepada 81,000 orang (2020) dan yang terkini 142,000 orang (2021)," katanya.

Muhyiddin berkata, pihak Grab Malaysia telah membentangkan strategi memperkasakan ekonomi domestik melalui proses digitalisasi dengan empat program perintis dicadangkan, yang mampu menyediakan lebih 35,000 peluang menjana pendapatan dalam e-hailing, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), peniaga di pasar awam serta perusahaan makanan dan minuman (F&B).

Mengulas lanjut beliau berkata mengambil maklum kesukaran golongan OKU dan rentan dalam mendapatkan akses peluang penjanaan pendapatan, NEC meminta Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Pihak Berkuasa Tempatan mengkaji mekanisme termasuk peruntukan perundangan bagi memastikan inisiatif dijalankan dengan kadar segera.

"Mesyuarat juga dimaklumkan Program Kerjaya UP yang dilancarkan pada 12 April lepas, khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar bandar berjaya membantu 489 pemohon mendapat pekerjaan serta-merta."Sehubungan itu Majlis bersetuju memperluaskan program ini secara lebih agresif dengan sasaran yang lebih meluas bagi membantu sosioekonomi golongan ini untuk keluar daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, bagi memantapkan komposisi keahlian NEC supaya lebih inklusif, tiga ahli tetap tambahan mewakili sektor kewangan, keusahawanan dan inovasi dilantik iaitu Ahli Lembaga Pengarah Maybank Investment Bank Bhd Datuk Seri Sharifah Sofianny Syed Hussain; Presiden Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (PENIAGAWATI) Datuk Azlin Ahmad Shaharbi dan pengasas bersama GoGet, Francesca Chia.

Beliau juga mengingatkan kementerian dan agensi kerajaan untuk terus memberikan perhatian serta keutamaan kepada perkara-perkara berkaitan inisiatif pekerjaan.

"Saya ingin menekankan bahawa NEC adalah inisiatif berasaskan KPI. Seharusnya perkara ini perlu disegerakan, seharusnya tiada kelewatan kerana antara tumpuan utama kita pada tahun ini adalah menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 8:33 PM