DATUK Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO Hairul Anuar Rahim.
DATUK Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Menjadikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebuah pasukan polis yang menjaga keamanan, berintegriti dan berkhidmat untuk masyarakat.

Itu tiga fokus utama digariskan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani bagi memperkasakan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Acryl Sani berkata, bagi memperkasakan integriti beliau mencadangkan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) diadakan di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai polis.

"LDP berkenaan perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk menerangkan topik semasa yang sentiasa menjadi isu.

"Sebagai contoh, kita selalu melihat seseorang anggota polis itu teragak-agak dengan apa tindakan yang perlu dibuat apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.

"Zaman sekarang adalah zaman telefon pintar dengan masyarakat merakamkan (tindakan PDRM berhadapan sesuatu situasi) dalam bentuk video dan ini sekali gus menghakis keyakinan masyarakat terhadap kemahiran dan kecekapan PDRM yang sedang menjalankan tugas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas di Bukit Aman, di sini, semalam sempena pelantikan beliau sebagai KPN ke-13 berkuat kuasa Selasa lalu.

Menurutnya, perkara ini perlu diatasi dengan melakukan perubahan dalam budaya kerja untuk menjadikan PDRM lebih berintegriti dan mempunyai jati diri.

Mengulas berhubung fokus kedua iaitu memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan PDRM, Acryl Sani berkata, pelaksanaan perkhidmatan bukan sahaja di kaunter pertanyaan balai polis atau di sekatan jalan raya (SJR) malah, ia diaplikasikan di mana-mana sahaja, tatkala berlakunya interaksi anggota PDRM dengan masyarakat.

"Disitulah berlaku proses perkhidmatan yang bermula kerana PDRM adalah satu organisasi dengan cogan kata 'Sedia Berkhidmat'.

"Cogan kata berkenaan bukan sahaja untuk masyarakat bahkan sesama anggota polis sendiri turut bersedia berkhidmat. Sebagai contoh, anggota polis yang bertugas dalam unit sokongan seperti mekanik dan juruteknik yang memerlukan bantuan antara satu sama lain dalam perkhidmatan," katanya.

Beliau juga meminta semua pegawai dan anggota polis agar bersikap lebih mesra ketika berurusan dengan masyarakat yang memerlukan bantuan PDRM.

"Saya sering dengar orang ramai dikasari di pejabat pertanyaan dalam bahasa kasar dengan sindiran yang tidak sepatutnya dikeluarkan.

"Ia satu perkara yang perlu dihentikan di setiap genap aspek di mana perkhidmatan diberikan sama ada di kaunter pertanyaan atau di lokasi SJR," katanya.

Dalam pada itu, mengenai fokus ketiga iaitu mendukung usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat, beliau berkata, PDRM akan sentiasa membantu kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 serta memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi rakyat.

"Jika sebelum ini, fokus utama PDRM adalah ancaman jenayah yang memberi cabaran kepada PDRM namun, sejak tahun lalu cabaran itu telah berubah apabila negara dilanda wabak Covid-19," katanya.

Acryl Sani berkata, PDRM akan terus membantu kerajaan memutuskan rantaian wabak berkenaan kerana kes Covid-19 yang dilihat membimbangkan dan meningkat sejak kebelakangan ini.

"Saya perhatikan masyarakat seolah-olah sudah mula lesu dengan pematuhan SOP tetapi kita tidak boleh leka dan mereka harus faham bahawa Covid-19 ini berada di mana-mana sahaja.

"Saya faham apa yang dialami oleh mereka (lesu dengan pematuhan SOP) bahkan ramai petugas kesihatan dan warga PDRM mengalami kelesuan tetapi mereka terus tekun.

"Jangan jadikan kebosanan untuk mematuhi SOP ini sebagai perkara yang diambil ringan jika tidak patuh SOP, dibimbangi penularan wabak itu tidak terkawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 10:21 AM