Acryl Sani Abdullah Sani
Acryl Sani Abdullah Sani
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti 29 individu yang akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan berhubung penganjuran perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' di ibu negara, semalam.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya dalam proses mengesan beberapa lagi individu berdasarkan rakaman video dan gambar.

"Kami menerima lebih 20 laporan polis di seluruh negara bagi membantah penganjuran perhimpunan 'Keluar dan #Lawan yang diadakan di ibu negara, semalam.

"Semua individu yang terbabit diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini

Acryl Sani berkata, sebelum ini, pihaknya sudah beberapa kali memberi peringatan kepada semua pihak supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi keselamatan orang ramai.

"Malah, kami juga menyatakan pendirian bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang sengaja melanggar SOP.

"Sikap penganjur dan peserta yang berdegil untuk mengadakan perhimpunan walaupun sudah diberikan nasihat supaya mengutamakan keselamatan kesihatan adalah tindakan tidak bertanggungjawab terutama ketika penularan wabak Covid-19 memerlukan kerjasama semua pihak untuk dibendung," katanya.

Beliau berkata, pemantauan PDRM ketika perhimpunan berkenaan mengesan insiden membabitkan penganjur dan peserta secara jelas melanggar SOP.

"Ini termasuk melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa.

"Justeru itu, kami sudah memulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan akta-akta lain yang relevan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 1:57 PM