Alexander Nanta Linggi (kanan) mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan 2021 di KPDNHEP hari ini. FOTO BERNAMA
Alexander Nanta Linggi (kanan) mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan 2021 di KPDNHEP hari ini. FOTO BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Tidak boleh lagi naikkan harga sewenang-wenang apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan 12 jenis barangan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021, bermula Rabu ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, senarai barang yang diumumkan dalam SHMMP termasuk ayam, telur ayam, daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.

Katanya, SHMMP dilaksanakan sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga keperluan semasa Ramadan serta menjelang Aidilfitri.

"Jumlah barangan ( dalam senarai SHMMP) ini akan ditambah dari masa ke semasa menjelang Aidilfitri dan dijangka akan ada lebih 20 barangan utama akan diumumkan.

"Pengumuman 12 barangan ini dilakukan susulan terdapat peningkatan harga barangan yang mendadak kebelakangan ini," katanya dalam sidang media pengumuman SHMMP, di kementeriannya, di sini, tadi.

Alexander berkata, tempoh kuatkuasa bagi SHMMP adalah 22 hari sebelum dan tujuh hari selepas hari perayaan yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berharap, menerusi skim berkenaan ia secara langsung akan memberi mesej kepada pengeluar, pemborong dan peruncit bahawa kerajaan mempunyai kuasa di bawah akta terbabit dan boleh melaksanakan kawalan harga demi kepentingan rakyat.

"Sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah dengan niat membuat keuntungan tinggi berlebihan, KPDNHEP boleh bertindak mengikut akta dinyatakan.

"Selain itu, notis mengikut Seksyen 21 Akta berkenaan turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak.

"Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan bawah skim ini," katanya.

Alexander berkata, peniaga yang didapati melakukan kesalahan berkenaan boleh diambil tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta dikenakan penalti.

"Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu terbabit boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

"Selain itu, bagi pihak syarikat yang melakukan kesalahan berkenaan ia boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.

Dalam pada itu, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan harga terkawal, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000.

"Bagi pihak syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000," katanya.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang, Alexander berkata, KPDNHEP akan meletakkan pegawai penguatkuasa di lokasi tumpuan bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

"Langkah ini adalah usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

"Selain itu, KPDNHEP turut menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.

"Kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 5:44 PM