CHONG (tiga dari kiri) dan Mohd Hairul (empat dari kiri) ketika  pemeriksaan dan tinjauan barangan di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
CHONG (tiga dari kiri) dan Mohd Hairul (empat dari kiri) ketika pemeriksaan dan tinjauan barangan di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seramai 53 peniaga di negeri ini dikompaun RM7,550 kerana gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang diperkenalkan sejak 21 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Dr Chong Fat Full berkata, 36 peniaga didapati melakukan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga barangan yang dijual.

Beliau berkata, 12 kes lagi membabitkan peniaga yang masih berdegil menjual melebihi harga kawalan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurutnya, lima kes pula membabitkan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

"Secara keseluruhannya, seramai 200 anggota penguat kuasa melakukan 2,105 pemeriksaan termasuk 2,058 pemeriksaan di peringkat peruncit dan 47 pemeriksaan di peringkat pemborong.

"Bagi kesalahan gagal meletak tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal, jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

"Manakala bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 serta syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pemeriksaan dan tinjauan barangan keperluan sempena SHMMP Hari Raya Puasa 2021 di Pasar Borong Pandan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro.

Pemeriksaan membabitkan 150 premis termasuk yang menjual ikan, ayam, daging dan sayuran.

Chong berkata, kumpulan peniaga dinasihatkan supaya mematuhi segala undang-undang perniagaan yang ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya ketika musim perayaan.

"Ada memberi alasan pemborong menjual barangan dengan harga tinggi hingga mereka terpaksa menaikkan harga.

"Kami tidak akan berkompromi dengan alasan mereka sebaliknya tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 11:40 PM