LORI yang membawa lembu berkenaan. FOTO Ihsan PGA 7
LORI yang membawa lembu berkenaan. FOTO Ihsan PGA 7
Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Cubaan dua lelaki untuk menyeludup lembu bagi pasaran pada Aidilfitri ini tumpas apabila mereka ditahan dalam operasi di Kampung Repek di sini, semalam.

Ketika operasi oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) pada 5 petang itu, dua lelaki masing-masing berusia 25 tahun ditahan.

Selain itu, 10 lembu serta sebuah lori dengan nilai keseluruhan RM178,000 dirampas.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika anggota PGA7 membuat rondaan bermotosikal di hadapan sebuah kedai, mereka menahan sebuah lori yang membawa 10 lembu bernilai RM98,000.

"Anggota memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum menahan pemandu dan lori untuk dibawa Komtak Jeram Perdah bagi pemeriksaan lanjut ke atas lembu berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati dokumen perjalanan berkaitan lembu yang dibawa mereka meragukan.

"Kesemua lembu dan lori itu dirampas, manakala dua lelaki itu ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, terdapat dokumen yang dikemukakan oleh pemandu adalah meragukan.

Menurutnya, lori itu dalam perjalanan ke Kedah dan lembu itu itu untuk pasaran di sana.

Katanya, kes diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan akan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Pada perkembangan yang lain, PGA7 turut merampas 600 liter minyak petrol berjumlah RM1,230 di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, 11 malam tadi.

Azhari berkata, dalam operasi itu, pihaknya merampas sebuah kereta bernilai RM10,000 dan menahan seorang lelaki berusia 28 tahun.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana ada dalam milikan barang kawalan berjadual dalam syak yang munasabah.

"Hasil siasatan, minyak petrol itu disyaki untuk di seludup ke negara jiran melalui lorong tikus di sepanjang sempadan Malaysia - Thailand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 9:56 AM