RUSA yang dirampas anggota PGA7 di di Kampung Siram Alor.
RUSA yang dirampas anggota PGA7 di di Kampung Siram Alor.

Pasir Mas: Tindakan berani dua lelaki membawa rusa secara seludup membawa padah apabila kegiatan itu dikesan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Kampung Siram Alor, di sini, semalam.

Hasil penahanan itu, PGA7 anggota merampas tujuh rusa bernilai RM35,000 selain menahan dua suspek berusia 34 dan 41 tahun.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata dalam kejadian jam 11 malam itu, anggota membuat rondaan di sekitar kawasan Jeram Perdah, sebelum terserempak sebuah van jenis Toyota Liteace berwarna biru dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota mengarahkan pemandu van itu untuk memberhentikan kenderaan sebelum meminta kedua-dua suspek mengemukakan kad pengenalan diri.

"Seterusnya, anggota bertugas membuat pemeriksaan di dalam van dan menemui tiga kotak kayu bersaiz besar yang di dalamnya ditempatkan kesemua rusa berkenaan.

"Hasil semakan mendapati dokumen pemindahan yang digunakan adalah untuk pemindahan haiwan lain dan bukannya rusa, selain bilangan haiwan yang sepatutnya dibawa adalah lima ekor sahaja," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azhari berkata, kesemua haiwan dirampas serta kedua-dua suspek ditahan untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi tindakan lanjut sebelum rusa berkenaan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Negeri Kelantan.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

"Pihak kami percaya rusa ini diseludup melalui jalan sungai yang tidak diwartakan untuk pasaran bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh negara. Rusa berkenaan juga disyaki dibawa ke sebuah ladang di sekitr Pasir Mas sebagai lokasi transit.

"Malah, harga seekor rusa agak tinggi yang mana dijual pada harga RM5,000 seekor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 2:20 PM