LEMBU yang diseludup dari Sungai Golok, hari ini. FOTO Ihsan PGA.
LEMBU yang diseludup dari Sungai Golok, hari ini. FOTO Ihsan PGA.
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Menarik sendiri lapan ekor lembu dari Sungai Golok dan memindahkan ke dalam lori, sebelum membawanya untuk diserahkan kepada peraih.

Aktiviti itu yang dilakukan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun, sebelum ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7) di Kampung Tok Rusa, Meranti di sini, pada 6.45 pagi hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya sedang melakukan rondaan sebelum terserempak sebuah lori jenis Isuzu dipandu suspek yang mencurigakan.

"Pemeriksaan dilakukan dan anggota menemui lapan ekor lembu pelbagai warna di belakang lori, namun suspek gagal menunjukkan sebarang surat atau dokumen sah berhubung pemindahan ternakan.

"Untuk itu dia ditahan dan lori serta lembu dirampas, dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhari berkata, dalam soal siasat, suspek mengaku lembu diseludup melalui jalan sungai yang tidak diwarta dengan dia menarik sendiri ternakan berkenaan dan memindahkan ke dalam lori untuk dihantar kepada peraih.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 11:44 AM