BERNAMA

Putrajaya: Kerajaan akan memulakan pemberian suntikan vaksin AstraZeneca kepada mereka yang mendaftar secara sukarela di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas yang bakal diwujudkan tidak lama lagi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, orang ramai yang mendaftar secara sukarela di PPV berkenaan akan diberikan vaksin itu berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'.

Katanya, langkah itu dibuat bagi menangani ketakutan dan kegusaran rakyat terhadap vaksin itu, selain tidak mahu mengganggu program imunisasi yang sedang berjalan.

"Saya dan Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) telah berbincang dengan teliti tentang AstraZeneca... kita tidak mahu membazirkan vaksin yang berkesan dan selamat ini tetapi dalam masa sama kita memahami bahawa sains dan juga fakta tidak dapat mengatasi kebimbangan orang ramai.

KHAIRY bersama Dr Adham ketika sidang media Mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KHAIRY bersama Dr Adham ketika sidang media Mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

"Kita akan membuka PPV khas bagi vaksin ini (AstraZeneca) dan ia tidak akan diberi di PPV biasa... maka mereka yang telah melihat segala data berkenaan vaksin itu boleh tampil untuk mendaftar secara sukarela," katanya dalam sidang media bersama Dr Adham mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu sistem tempahan janji temu akan dibuka kepada sesiapa berusia 18 tahun ke atas dan ia tidak dikhaskan kepada golongan dalam fasa kedua sahaja.

Katanya, kemudahan PPV Khas itu akan dibuka di Selangor dan Kuala Lumpur dan sebanyak 268,800 dos suntikan itu diperuntukkan.

"Untuk permulaan, pemberian vaksin tersebut dibuat di dua negeri ini sebagai pertimbangan untuk kawalan wabak.

"Kita akan membuat penilaian saringan pra pemvaksinan di PPV khas tersebut kepada mereka yang mendaftar dan setelah kita dapati mereka layak untuk terima, mereka akan diberikan vaksin tersebut," katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang sudah mendapat tarikh janji temu termasuklah warga emas, mereka tidak perlu risau kerana mereka akan diberikan vaksin Pfizer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 4:29 PM