Mohd Iskandar Ibrahim dan Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Penerima dos vaksin AstraZeneca ke sejuta hari ini menyifatkan dirinya bertuah kerana suntikan itu turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jurugambar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Zamratulazmi Sarmadi, 38, berkata dia mengetahui menjadi penerima dos AstraZeneca ke sejuta selepas hadir ke kaunter vaksin di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Bagaimanapun, katanya, dia langsung tidak mengetahui mengenai kehadiran Ismail Sabri.

"Saya menerima panggilan telefon tadi (semalam) dan diminta untuk hadir awal ke pusat pemberian vaksin (PPV) di WTCKL. Saya tidak diberitahu pun mengenai dos ke sejuta.

"Hanya apabila tiba di kaunter dua di sini, saya diberitahu menjadi penerima ke sejuta dan selepas itu dimaklumkan Perdana Menteri baharu akan hadir melihat suntikan itu dilakukan.

"Saya sangat terkejut dan gembira kerana ia pengalaman lain dari yang lain," katanya ketika ditemui, di sini.

Bapa kepada dua anak itu menasihati mereka yang belum mendaftar atau enggan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 supaya berbuat demikian bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

"Mendapatkan suntikan ini adalah usaha kita sebagai seorang rakyat untuk membantu kerajaan mengekang jangkitan Covid-19, selebihnya kita reda dan bertawakal kepada Allah sahaja," katanya.

Ismail Sabri turut menyaksikan suntikan vaksin AstraZeneca dos ke sejuta di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) WTCKL, di sini.

Suntikan itu dilakukan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 6:28 PM