PETUGAS kesihatan memasukkan cecair vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech menggunakan picagari khas 'Low Dead Volume' (LDV) pada Program Imunisasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kopeladar Wakaf Bharu, Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PETUGAS kesihatan memasukkan cecair vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech menggunakan picagari khas 'Low Dead Volume' (LDV) pada Program Imunisasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kopeladar Wakaf Bharu, Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Penyuntik vaksin kini perlu menunjukkan jarum suntikan sebelum dan selepas memberi suntikan kepada penerima susulan dakwaan pemberian dos vaksin keluaran AstraZeneca kurang daripada sepatutnya baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius dakwaan itu yang dikatakan berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), yang mula tular di media sosial bermula pada 20 Mei lalu.

Beliau berkata, KKM dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) sedang membuat siasatan lanjut mengenai perkara itu.

Katanya, sebagai langkah memastikan kualiti pengendalian vaksin AstraZeneca untuk Covid-19 berada pada tahap optimum, KKM menetapkan arahan tambahan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada semua pengendali vaksin di PPV AstraZeneca.

"Penyuntik vaksin perlu menunjukkan jarum suntikan yang diisi dengan vaksin mengikut kuantiti yang ditetapkan kepada penerima vaksin, sebelum melakukan suntikan.

"Mereka juga perlu menunjukkan jarum suntikan yang dikosongkan kepada penerima vaksin selepas suntikan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Adham berkata, penambahbaikan dalam SOP pemberian vaksin itu akan diperluaskan ke semua PPV lain manakala pemantauan rapi terutamanya di PPV akan dipertingkatkan bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya.

Beliau berkata, KKM akan sentiasa memastikan Program Pemberian Vaksin AstraZeneca dilaksanakan dengan jaya dan selamat untuk penduduk Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang menyiasat secara terperinci dakwaan pemberian dos vaksin AstraZeneca terkurang sebanyak 0.5 mililiter (ml) di WTCKL.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:45 PM