Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Seramai 16,133 sukarelawan bukan kesihatan menyumbang bakti dalam pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Mereka terdiri daripada penjawat awam seramai 1,373 orang, Sukarelawan Bukan Kesihatan (7,724), Angkatan Pertahanan Awam (3,275), Rela (2,902) dan Angkatan Tentera Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (859).

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, sehingga 22 Julai lalu, terdapat 2,313 PPV pelbagai saiz dan kapasiti sedang beroperasi di seluruh negara.

"PPV Mega Tier 1 ada 17, PPV Mega Tier 2 (16), PPV Awam Bukan Kesihatan (300), PPV Institusi Pengajian Tinggi (16), PPV Pandu Lalu (4), PPV Klinik Kesihatan (193), PPV 'Special' (124), PPV Klinik Pakar Swasta (1,443), PPV Hospital Swasta (121), PPV Ambulatori (19) dan PPV Industri sebanyak 60.

"Ini tidak termasuk inisiatif unit vaksinasi bergerak dan program jangkau luar komuniti," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sukarelawan membantu sebahagian pekerja warga asing mengisi borang pendaftaran untuk melakukan suntikan vaksin ketika hadir di PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sukarelawan membantu sebahagian pekerja warga asing mengisi borang pendaftaran untuk melakukan suntikan vaksin ketika hadir di PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD

Beliau berkata, jumlah vaksin yang diterima menerusi perolehan kerajaan sehingga 26 Julai lalu adalah sebanyak 23,884,920 dos.

Katanya, 1,085,790 dos diterima pada suku pertama 8,906,530 dos dihantar pada suku kedua dan bakinya adalah yang diterima pada bulan Julai ini.

Menurutnya, pengagihan vaksin mengambil kira jumlah vaksin yang sudah dihantar, jumlah populasi negeri dan nilai ambang di bawah Pelan Pemulihan Negara supaya setiap negeri dapat beralih daripada satu fasa kepada fasa dalam tempoh masa yang tidak jauh berbeza antara negeri.

Khairy berkata jumlah vaksin yang terdapat di dalam portfolio Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah fasiliti Covax meliputi 10 peratus populasi negara, Pfizer-BioNTech (70 peratus), AstraZeneca (10 peratus) dan Sinovac 19.4 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 11:38 AM