Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah dipanggil bagi menyelamatkan tiga kucing yang terperangkap di sengkuap di tingkat satu dan tiga Pangsapuri Taman Dimensi, di Lendu, di sini, semalam.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, operasi menyelamat diketuai Leftenan Muda (PA) Mohd Hairil Mat Nasir dan tiba di lokasi jam 11.15 pagi.

Menurutnya, anggota APM mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menyelamatkan tiga kucing yang terperangkap itu dan diserahkan dalam keadaan selamat kepada pemiliknya.

Beliau berkata, difahamkan haiwan itu sudah hilang sejak beberapa hari lalu dan disedari terperangkap di sengkuap oleh pemiliknya sebelum menghubungi APM.

Sementara itu, Prebet (PA) Ahmad Arshad Rozman, 22, yang terbabit dalam operasi itu berkata, dia berdepan dua cabaran iaitu pada awalnya menyelamat dua kucing di sengkuap di tingkat pertama pangsapuri itu.

"Kemudian kami menemukan seekor kucing lagi terperangkap di sengkuap di tingkat tiga di rumah pemiliknya.

"Kami terpaksa menggunakan tali yang diikat pada badan dan saya meniti bumbung bersebelahan sengkuap itu untuk menangkap kucing itu," katanya.

ANGGOTA bomba memotong jeriji tingkap bagi menyelamatkan mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memotong jeriji tingkap bagi menyelamatkan mangsa. FOTO ihsan bomba

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 11:07 AM