NURUL Asyikin (kanan) berbual dengan Mas Ermieyati di kediamannya. FOTO Hasan Omar.
NURUL Asyikin (kanan) berbual dengan Mas Ermieyati di kediamannya. FOTO Hasan Omar.
Hassan Omar


"SAYA sepatutnya menjalani ujian imbasan jantina bayi kerana kami sudah merancang berbuat demikian ketika kandungan berusia lapan bulan, dan kami amat teruja untuk tahu jantina anak," Nurul Asyikin Mohd Ali, 31.

Nurul Asyikin adalah isteri kepada Allahyarham Zulkarnain Mokhtar, 32, yang meninggal dunia selepas koma dua hari apabila motosikal ditungganginya merempuh babi di Kampung Brisu, dekat Alor Gajah, 12 Jun lalu.

Guru taman didikan kanak-kanak (tadika) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu berkata, mereka amat teruja untuk menyambut kelahiran anak pertama selepas kira-kira enam tahun menunggu zuriat.

"Namun, Allah lebih sayang arwah suami dan menjemputnya pulang lebih awal sebelum kami sempat tahu jantina anak kami yang Insya Allah dijangka lahir pada hujung Julai ini," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin di kediamannya di Taman Wira Emas, Lubok Cina, dekat Alor Gajah.

Mas Ermieyati meluangkan kira-kira setengah jam menziarahi wanita terbabit.

Nurul Asyikin berkata, beberapa minggu sebelum pergi, arwah suami sempat membelikan beberapa pasang pakaian bayi.

Katanya, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum kejadian, tetapi pernah memaklumkan akan menyerahkan hartanya kepada anak apabila dewasa kelak.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi 12 Jun lalu, Allahyarham Zulkarnain parah selepas motosikal Honda RS150R ditunggang babi hutan yang tiba-tiba melintas di Jalan Lubok Cina-Alor Gajah, di Kampung Brisu.

Allahyarham parah akibat tulang tengkuk dan rusuk kanannya patah akibat terjatuh dan dirawat di Hospital Melaka sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 12.30 malam Isnin lalu.

Arwah dikatakan sering berulang alik dengan melalui jalan berkenaan yang di kiri kanannya dipenuhi dengan pokok getah dan kelapa sawit.

Berita berkaitan:

  • Ops khas hapus babi hutan
  • Pergi selepas koma dua hari
  • Pekerja kilang koma motosikal rempuh babi hutan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 9:23 AM