SUKARELAWAN membuat persediaan terakhir di tempat suntikan vaksin Astra Zeneca di bangunan peperiksaan Universiti Malaya (UM), bermula esok. FOTO FATHIL ASRI.
SUKARELAWAN membuat persediaan terakhir di tempat suntikan vaksin Astra Zeneca di bangunan peperiksaan Universiti Malaya (UM), bermula esok. FOTO FATHIL ASRI.
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Individu yang ingin merentas negeri bagi tujuan janji temu penerimaan vaksin Covid-19 tidak perlu surat kebenaran polis.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penerima vaksin hanya perlu menunjukkan janji temu dalam MySejahtera atau laman web dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata, perkara itu baru saja beliau jelaskan kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Penerima vaksin tidak perlu surat polis. Cukup sekadar menunjuk janji temu dalam MySejahtera atau laman web atau SMS," katanya dalam ciapan Twitter, malam ini.

Sebelum ini, dibangkitkan dalam sidang media harian Covid-19 oleh Ismail Sabri mengenai kebenaran rentas daerah oleh penerima vaksin berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor.

Berikutan pelaksanaan PKP itu, pergerakan daerah dan negeri tidak dibenarkan kecuali untuk kes kecemasan, kematian dan mereka yang bekerja.

Pada 15 April lalu, kerajaan memberi kebenaran merentas negeri kepada mereka yang ingin membawa ahli keluarga atau tanggungan bagi tujuan janji temu penerimaan vaksin Covid-19.

Menerusi kelonggaran itu mereka hanya perlu menunjukkan surat janji temu itu kepada pihak berkuasa di sempadan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 8:41 PM