YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan Selamat Hari Anggota Bomba Sedunia 2021 kepada seluruh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas jasa, khidmat dan bakti kepada negara dan masyarakat.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada seluruh anggota JPBM kerana melaksanakan tugas dengan berani dan penuh dedikasi dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat.

"Seri Paduka Baginda menyanjung tinggi dan menghargai pengorbanan seluruh anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia yang memikul tugas dan tanggungjawab tanpa mengira masa dan penat lelah," menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara menerusi Facebook hari ini.

Al-Sultan Abdullah juga menghargai bantuan khidmat yang diberikan oleh pasukan bomba di barisan hadapan bersama-sama petugas lain dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Hari Anggota Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 5:33 PM