AL-SULTAN Abdullah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham Namat Abdullah. FOTO NSTP
AL-SULTAN Abdullah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham Namat Abdullah. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak dan Olimpian negara, Datuk Namat Abdullah, yang kembali ke Rahmatullah pada petang hari ini selepas sekian lama bertarung melawan barah usus.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

Seri Paduka Baginda amat menghargai jasa Allahyarham kepada negara serta khidmat bakti beliau dalam mengharumkan nama Malaysia di persada bola sepak dunia.

Al-Sultan Abdullah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negara.

Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

FOTO Ihsan Istana Negara
FOTO Ihsan Istana Negara

Dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang, Allahyarham menjadi antara pemain bola sepak negara yang disegani atas sumbangan besarnya termasuk membantu Harimau Malaya ke Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972.

Antara rakan sepasukan Allahyarham ialah mendiang Datuk M Chandran, Datuk Soh Chin Aun, Wong Kam Fook, Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff dan adik beliau, Shaharudin Abdullah.

Di zaman gemilangnya, bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan itu terkenal di rantau Asia sebagai pemain pertahanan yang disegani oleh pasukan lawan.

Juga terkenal dengan sifat kepimpinan dan displin tinggi di padang dan luar padang, Allahyarham memulakan karier sebagai pemain Pulau Pinang pada tahun 1965 dan pertama kali mewakili Malaysia pada Pesta Bolasepak Merdeka 1968.

Selain mewakili Pulau Pinang dari tahun 1965 hingga 1975, beliau mewakili negara 115 kali.

Kali terakhir beliau menyarung jersi kebangsaan adalah pada Kejohanan Ulangtahun Jakarta 1975.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 9:00 PM