Roselan Ab Malek


Maran: Hasrat Mohd Aqil Aqmar Nordin, 4, yang menghidap juvenile hyline fibromatosis untuk menaiki kereta peronda polis tercapai selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran menunaikan impian anak kecil itu petang semalam.

Mohd Aqil ditemani bapanya, Nordin Jasni, 39, turut menaiki kereta peronda polis selama sejam mengelilingi kawasan Felda Ulu Jempol dan seterusnya ke Balai Polis Sungai Jerik yang terletak kira-kira enam kilometer dari rumahnya.

Lebih manis, kereta peronda polis itu dipandu oleh Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman dan turut mengiringi Mohd Aqil ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Mohd Aqil mengidap penyakit juvenile hyline fibromatosis dan ketumbuhan yang disahkan oleh doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Anak ketiga pasangan Nordin Jasni, 39, dan Ros Asroini Muhammad, 39, pada peringkat awal kelahirannya sama seperti bayi normal lain.

Perubahan fizikal bermula di jari tangan dan kaki yang membengkok ketika di usia tiga bulan termasuk tulang mengeras dan kejang pada usia enam bulan.

MOHD Aqil dibawa bapanya menaiki kereta peronda polis. FOTO Roselan Ab Malek
MOHD Aqil dibawa bapanya menaiki kereta peronda polis. FOTO Roselan Ab Malek

Dia cuma berbaring secara mengiring sepanjang masa kerana tulang belakangnya membengkok dan hanya minum susu menggunakan tiub yang dipasang ke perutnya.

Mohd Aqil sudah dua kali membuat pembedahan di HKL iaitu menebuk leher untuk saluran pernafasan dan perut bagi saluran makan pada 19 September tahun lalu dan membuang ketumbuhan di mulut dan gusi pada 14 April lalu.

Shahaniza berkata, hasrat anak kecil itu harus ditunaikan bagi meningkatkan tahap psikologi yang mungkin membantunya untuk sembuh.

"Apabila terbaca melalui media berkaitan hasrat Mohd Aqil menaiki kereta peronda polis, terus saya hubungi ketua polis daerah untuk mendapat kebenaran dan beliau bersetuju.

"Alhamdulillah, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut meluluskan bantuan bulanan kepada anak istimewa ini," katanya.

Sementara itu, Norzamri berkata, Mohd Aqil turut dibawa beramah mesra dengan anggota polis di Balai Polis Sungai Jerik termasuk menaiki motosikal unit peronda.

"Ini antara khidmat polis kepada masyarakat dan pastinya menjadi kenangan buat Mohd Aqil, saya turut dimaklumkan bapanya, dia sangat teruja untuk menjadi anggota polis dan mahu memandu kereta polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 1:07 PM