PENUNTUT GiatMara  Mohammad Azzrin Abdul Rahim, 20, dari Alor Gajah, Melaka ditemui lemas di Lubuk Yu, Sungai Yu. FOTO Ihsan Pembaca
PENUNTUT GiatMara Mohammad Azzrin Abdul Rahim, 20, dari Alor Gajah, Melaka ditemui lemas di Lubuk Yu, Sungai Yu. FOTO Ihsan Pembaca
Shahrul Nizam Mohamad


PENUNTUT GiatMara ditemui lemas selepas hilang ketika memancing bersama rakannya di Lubuk Yu di Sungai Jerik, Maran, semalam.

Mayat, Mohammad Azzrin Abdul Rahim, 20, dari Alor Gajah, Melaka ditemui kira-kira 8 malam tadi.

Mangsa dikatakan hilang selepas terjun ke sungai itu untuk melepaskan kail yang tersangkut pada celah batu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada 5.10 petang memaklumkan ada satu kejadian lemas di lubuk itu.

“Bertindak atas panggilan itu, pihak polis dari Balai Sungai Jerik memaklumkan kepada Balai Polis Daerah dan gerakan IPD Maran dilakukan.

“Polis dengan kekuatan lapan anggota bomba serta orang kampung memulakan operasi mencari dan menyelamat.

“Orang kampung yang menyelam mencari mangsa berjaya menemui mayat penuntut itu kira-kira 8 malam.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bandar Jengka untuk bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.

Norzamri berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama rakan-rakan ke lubuk itu untuk memancing.

"Namun, mangsa bertindak terjun ke dalam lubuk itu untuk melepaskannya kail yang tersangkut namun gagal sebelum lemas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 9:32 AM