Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Penyanyi rap yang juga penganjur majlis berbuka puasa di sebuah hotel, di sini, sudah dipanggil polis memberi keterangan semalam bagi membantu siasatan.

Selain itu, selebriti wanita bersama suaminya turut dipanggil polis bagi dirakam percakapan selepas turut hadir pada majlis berbuka puasa itu.

Siasatan dijalankan selepas didapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, setakat ini tujuh orang sudah dipanggil terdiri penganjur, wakil hotel, selebriti dan suaminya.

Menurutnya, hari ini pihaknya akan memanggil lima lagi individu terdiri daripada selebriti dan pasangan serta adik salah seorang selebriti yang turut hadir majlis itu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan selepas penularan gambar menunjukkan majlis berbuka berlangsung dengan kehadiran yang ramai tanpa ada penjarakan fizikal.

"Kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan selesai dijalankan," katanya ketika dihubungi hari ini

Mohamad Zainal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) 2021.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, 29 April lalu yang turut dihadiri beberapa artis.

Berita berkaitan

Polis siasat Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 12:01 PM