Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah. FOTO Azhar Ramli
Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah. FOTO Azhar Ramli
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Kertas siasatan membabitkan beberapa artis didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu arahan daripada AGC untuk tindakan lanjut.

"Kertas siasatan itu dirujuk kepada pihak AGC bulan lalu dan ia masih berada di pejabat mereka," katanya, hari ini.

Sebelum ini, polis dilaporkan merakam keterangan 12 individu berhubung dakwaan berlaku pelanggaran SOP PKPB pada majlis itu di sebuah hotel di sini, pada 29 April lalu.

Mohamad Zainal dipetik berkata, semua 12 individu itu terdiri daripada penganjur dan selebriti yang menghadiri majlis berkenaan.

Dalam gambar yang tular di media sosial menunjukkan antara artis yang hadir pada majlis itu ialah penyanyi rap Caprice, Ashraf Muslim, Heliza Helmi, Iman Troye, Mawar Rashid dan PU Hafiz.

Siasatan polis dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 2:56 PM