POLIS membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 kerana melanggar SOP PKPB. FOTO tular
POLIS membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 kerana melanggar SOP PKPB. FOTO tular
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polis sudah membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, yang turut dihadiri beberapa artis.

Siasatan dijalankan selepas didapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, majlis itu diadakan pada 29 April lalu.

Menurutnya, setakat ini tiga individu dari pihak penganjur dan seorang dari pihak pengurusan hotel sudah dipanggil memberi keterangan.

"Siasatan dijalankan selepas penularan gambar menunjukkan majlis berbuka berlangsung dengan kehadiran yang ramai.

"Penelitian ke atas gambar mendapati wujudnya pelanggaran SOP penganjuran majlis sosial PKPB iaitu tiada penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata, susulan itu, semua mereka yang terbabit akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberi keterangan dalam masa terdekat.

"Kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan selesai dijalankan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) 2021," katanya.

Beliau berkata, polis menyeru orang ramai terus mematuhi PKPB kerana kegagalan mematuhinya boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Terdahulu pada majlis itu antara artis yang hadir adalah penyanyi rap Caprice, Ashraf Muslim, Heliza Helmi, Iman Troye, Mawar Rashid dan PU Hafiz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 3:47 PM