ANTARA individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti sabung ayam. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti sabung ayam. FOTO Ihsan PDRM
Melvin Joni

Miri: Tiga lelaki warga emas antara 12 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti sabung ayam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 68 tahun itu ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan pada 3.15 petang dan 4.20 petang.

"Kesemua mereka ditahan ketika menjalankan aktiviti itu di kebun pisang di Kuala Baram dan di tapak pelupusan sampah di sepanjang Jalan Lutong-Kuala Baram," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan serbuan turut merampas 12 ekor ayam sabung yang mati, dua alat timbang, empat pisau taji serta peralatan pertaruhan.

Hakemal berkata, kesemua suspek kini ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan 1962 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000 dan penjara hingga tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 7:40 PM