Seramai 11 individu ditangkap kerana menjalankan aktiviti sabung ayam. FOTO MELVIN JONI
Seramai 11 individu ditangkap kerana menjalankan aktiviti sabung ayam. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Julau: Sebelas termasuk seorang wanita ditahan kerana menjalankan aktiviti sabung ayam dalam kebun kelapa sawit di Batu 15 Jalan KJD, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Julau Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, kesemua mereka yang berusia antara 36 hingga 72 tahun ditahan dalam serbuan dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Julau, kira-kira jam 3 petang.

"Turut dirampas lima ayam sabung hidup, lima ekor ayam sabung, satu unit alat penimbang, satu keratan kotak bertulis angka dan sebilah taji ayam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Andam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Penganiayaan Binatang 1963.

Beliau berkata, kesemua suspek turut dikompaun mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) (No 3) 2021.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan sabung ayam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 2:57 PM