Hakemal Hawari (tengah) menunjukkan dadah  yang dirampas. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Hakemal Hawari (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Miri: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit kegiatan pengedaran dadah bersama sejumlah barang larangan itu yang bernilai RM314,400.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, penahanan suspek berusia 29 tahun dilakukan semalam, dengan dadah ditemui di sebuah bengkel di Jalan Datuk Muip dan rumah di Kampung Pangkalan Lutong, di sini.

Katanya, serbuan berkenaan oleh pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Miri dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sarawak bermula 11.20 pagi.

"Serbuan pertama, anggota menjumpai sepeket plastik mengandungi 22 peket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah dengan berat kasar 25.20 gram.

"Turut dijumpai ialah satu beg plastik warna hitam di dalamnya terdapat 22 peket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggarkan berat 239 gram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hakemal berkata, serbuan dan pemeriksaan lanjut menemui lapan bungkusan plastik bertulis Guanyinwang yang masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis sama yang dianggarkan seberat 8,000 gram.

Katanya, keseluruhan dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan siasatan awal mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak dua bulan lalu.

"Dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya yang memberitahu pihaknya turut menyita sebuah kereta Honda bernilai RM15,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 5:52 PM