GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 14 kes tempatan Covid-19 adalah daripada varian Afrika Selatan B.1.351.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes ini dikesan di Kelantan, Kedah, Selangor, dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, varian Indian B.1.617.2 pula membabitkan kes import menjangkiti pesakit bukan warganegara yang kemudian meninggal dunia.

"Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351 sebanyak 62 kes dan varian India Indian B.1.617 sebanyak dua kes," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 20 lagi kluster baharu direkodkan, hari ini.

Katanya, jumlah itu menjadikan kluster aktif sebanyak 462 kluster dengan jumlah keseluruhan 1,840 kluster setakat ini.

"Sehingga kini, jumlah kluster komuniti adalah 435 kluster dengan 129 kluster lagi yang masih lagi aktif.

"Kluster komuniti ini berpunca daripada jangkitan kontak keluarga dan kontak rapat, aktiviti keraian, pengebumian, perkahwinan, perayaan, dan lain-lain aktiviti sosial," katanya.

Beliau berkata, majoriti mereka dijangkiti tidak mempunyai gejala adalah 78.4 peratus dan ini menjadikan risiko jangkitan serta penularan amat tinggi sekiranya aktiviti kunjung mengunjung di hari raya tetap dilaksanakan.

Katanya, KKM berharap masyarakat memahami situasi ini dan akur kepada nasihat dikeluarkan bagi kebaikan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 7:15 PM