PASUKAN Polis Marin (PPM) Kuala Perlis berjaya menemui 390 botol ubat batuk dipercayai cuba diseludup ke negara ini dari Thailand menggunakan sampan di Kuala Perlis. FOTO ihsan Pasukan Polis Marin Kuala Perlis
PASUKAN Polis Marin (PPM) Kuala Perlis berjaya menemui 390 botol ubat batuk dipercayai cuba diseludup ke negara ini dari Thailand menggunakan sampan di Kuala Perlis. FOTO ihsan Pasukan Polis Marin Kuala Perlis
Aizat Sharif


Kangar: Sebanyak 390 botol ubat batuk dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Perlis selepas menahan sebuah sampan di Kuala Perlis, di sini hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, rampasan dilakukan di sebuah kawasan di hadapan Jeti Kastam Kuala Perlis sekitar jam 12.30 tengah malam.

"Bertindak atas maklumat penyeludupan, Unit Risikan PPM Kuala Perlis yang dibantu anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kuala Perlis mengesan sebuah sampan tidak bernombor dalam keadaan mencurigakan berada di perairan Kuala Perlis.

"Ketika anggota kami cuba menghampiri sampan berkenaan didapati tekong sampan berkenaan bertindak memecut laju sampan ke kawasan daratan berhampiran Jeti Kastam Kuala Perlis sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, pemeriksaan terhadap sampan yang ditinggalkan itu menemui empat bungkusan plastik hitam.

"Kami menemui 390 botol putih jenama Dynadril di dalam bungkusan plastik hitam berkenaan, yang di dalam terdapat cecair hitam yang disyaki ubat batuk di atas dek sampan itu.

"Kita percaya ubat batuk itu cuba diseludup ke negara ini menggunakan laluan laut dari negara jiran," katanya.

Beliau berkata, rampasan ubat batuk itu kemudian diserahkan kepada polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar untuk siasatan lanjut.

Kesemua rampasan termasuk sampan berserta enjin dianggarkan bernilai RM10,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 3:20 PM