GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Penyelia kilang ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 14 sebuah apartment di Jalan Tanjung Tokong, di sini, hari ini.

Mayat lelaki berusia 26 tahun itu ditemui berhampiran kolam hiasan di tingkat lima bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 1.38 pagi.

Katanya, terdahulu lelaki terbabit bersama lapan lagi rakannya menyewa unit rumah di apartment berkenaan selama satu hari bagi tujuan berkumpul dan berhibur selepas mendaftar masuk pada 4.30 petang semalam.

"Difahamkan mereka sebelum itu mandi di kolam renang apartment berkenaan sebelum kesemuanya masuk semula ke dalam unit rumah terbabit untuk bersuka ria dan minum minuman keras," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, kira-kira jam 12.30 tengah malam, lelaki berkenaan keluar dari unit rumah itu bagi mendapatkan rakannya yang berdiri menghisap rokok di kaki lima koridor.

Katanya, lelaki berkenaan dalam keadaan mabuk dan tidak stabil, memanjat dinding koridor dan melompat untuk ke kaki lima luar bangunan tingkat 14 itu.

"Lelaki itu tergelincir sebelum jatuh terhempas di tingkat lima dan hanya seorang rakan mangsa melihat kejadian itu manakala kenalan lain berada di dalam rumah.

"Siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang unsur jenayah atau kecederaan meragukan.

"Mangsa berasal dari Simpang Ampat, di sini, mempunyai satu rekod jenayah lampau, " katanya.

Lelaki itu disahkan meninggal meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi urusan bedah siasat.

Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 1:39 PM