KAWASAN lif Blok D, Pangsapuri Seri Nilam yang dihiasi dengan set kerusi dan dekorasi menarik.
KAWASAN lif Blok D, Pangsapuri Seri Nilam yang dihiasi dengan set kerusi dan dekorasi menarik.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BERMULA sekadar suka-suka untuk memenuhi masa terluang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang lalu, kini penduduk Blok D, Pangsapuri Seri Nilam, Ampang menikmati suasana rumah lebih ceria dan selesa.

Hampir keseluruhan ruang di setiap tingkat rumah itu dicat dengan rona warna-warni dan dihias menarik.

Ketua bebajikan merangkap Ketua Wanita (Blok D) Pangsapuri Seri Nilam, Rahimah Abu Bakar, 53, berkata, idea untuk menghiasi bangunan 16 tingkat yang memiliki 320 unit kediaman itu timbul selepas penduduk mahu lakukan sesuatu bagi memenuhi masa terluang sepanjang PKP 2.0.

Katanya, kerja mengecat dan menghiasi ruang lif, tangga dan koridor itu bermula pada Februari lalu di beberapa tingkat sebelum penduduk di tingkat lain melakukan perkara sama.

"Ketua sukarelawan yang dikenali sebagai Abu Bakar banyak menyumbang idea untuk mencantikkan lagi kawasan blok ini dan kerja dekorasi turut dipantau pengerusi penduduk, Ahmad Afandi Hassan.

"Setiap tingkat bebas mengecat dan menghias kawasan mengikut bajet masing-masing.

"Ia siap sepenuhnya menjelang Aidilfitri dan hasilnya di luar dugaan," katanya.

Menurut Rahimah, kawasan tumpuan utama adalah sekitar tempat menunggu lif, tangga dan laluan koridor.

RUANG koridor dihias menarik untuk dijadikan ruang kanak-kanak bermain.
RUANG koridor dihias menarik untuk dijadikan ruang kanak-kanak bermain.

SUKARELAWAN turut menjaga dan memantau aspek kebersihan kawasan pangsapuri.
SUKARELAWAN turut menjaga dan memantau aspek kebersihan kawasan pangsapuri.

Katanya, ada penduduk yang tingkat tertentu pangsapuri itu yang mengeluarkan bajet lebih untuk menghiasi ruang tempat menunggu lif dengan pelbagai hiasan termasuk meletak bangku kayu.

"Ada juga yang meletakkan set kerusi dan meja hiasan selain ada yang bukan sahaja mengecat kawasan itu dengan pelbagai rona ceria, malah turut menampal kertas dinding menarik.

"Barisan sukarelawan ada juga memantau aspek kebersihan kawasan rumah dan penduduk masing-masing memberi kerjasama yang baik.

"Usaha dan kreativiti semua penduduk di blok ini menghasilkan suasana rumah yang bukan sahaja bersih, malah selesa untuk didiami," katanya.

Rahimah berkata, penduduk di pangsapuri itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya dan kanak-kanak juga dilarang bermain di bawah bangunan.

Katanya, ada ibu bapa yang kreatif menghias kawasan depan rumah untuk membolehkan anak masing-masing bermain.

"Anak-anak tidak lagi terperuk dalam rumah kerana ibu bapa mereka menyediakan permainan yang sesuai di luar rumah.

"Keselamatan mereka, bagaimanapun sentiasa dipantau ibu bapa dan kami gembira penduduk dapat mengisi masa terluang dengan aktiviti yang lebih bermanfaat," katanya yang mengakui inisiatif penduduk turut membolehkan bangunan rumah itu disanitasi dua kali seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 6:46 AM