GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Lelaki yang juga penghidap asma ditemui meninggal dunia selepas terjatuh daripada tingkat lapan koridor sebuah wad di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, jam 6.20 petang semalam.

Terdahulu, pesakit di wad berkenaan mendakwa melihat lelaki berusia 21 tahun itu menghantuk kepala selepas keluar daripada bilik air di wad terbabit.

Dia kemudian menuju ke koridor. Ibunya cuba menarik anaknya itu namun gagal kerana lelaki berkenaan terjatuh. Mayatnya ditemui tertiarap di koridor tengah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lelaki terbabit dimasukkan ke HSAH Isnin lalu kerana disyaki dijangkiti denggi.

Katanya, dia dirawat di wad di tingkat lapan dan sepanjang tempoh itu, lelaki terbabit ditemani ibunya.

"Lelaki terbabit dilihat pesakit lain menghantuk kepalanya sebaik keluar daripada bilik air sebelum berlari ke koridor.

"Ketika itu, beberapa pesakit yang duduk di katil berhampiran pintu koridor cuba membantu namun usaha mereka gagal kerana pintu berkunci. Mereka hanya melihat lelaki itu terjatuh," katanya pada kenyataan kelmarin.

Menurut beliau, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh doktor.

Katanya, hasil keterangan daripada ibunya, lelaki itu tidak berhutang atau berselisih faham dengan sesiapa.

"Doktor yang merawat lelaki itu juga memaklumkan, si mati tidak dijangkiti denggi namun dia sebaliknya mempunyai masalah asma.

"Setakat ini, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 1:16 PM