Foto hiasan
Foto hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis Johor menolak 529 daripada 25,222 permohonan orang ramai bagi merentas daerah dan negeri sempena Aidilfitri mulai 5 Mei hingga 11 Mei.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berbanding sebelumnya iaitu bagi tempoh 28 April hingga 4 Mei, sebanyak 202 permohonan daripada 15,200 permohonan ditolak.

Menurutnya, bilangan permohonan yang ditolak meningkat sebanyak 327 atau 100 peratus berikutan tidak mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan.

Katanya, sekatan jalan raya (SJR) juga ditambah pihaknya iaitu daripada 35 kepada 50 merangkumi 12 di lebuh raya, lapan bagi Ops benteng, 10 bagi sempadan negeri dan 20 bagi jalan persekutuan.

"Seramai 767 anggota termasuk daripada agensi berkaitan akan ditempatkan di SJR, manakala seramai 260 anggota menerusi pasukan pemantauan dan 150 kereta peronda polis (MPV) akan menjalankan operasi pematuhan SOP.

"Semalam, sebanyak 39 daripada 28,364 kenderaan yang diperiksa diarahkan berpatah balik kerana memberi alasan tidak munasabah termasuk ada yang menggunakan surat kebenaran yang sudah tamat tempoh.

"Polis akan memeriksa secara teliti termasuk melihat butiran dokumen berkenaan.

"Laluan tikus juga dikenali pasti di Segamat dan kita akan mempertingkatkan lagi kawalan. Sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dilakukan di laluan tikus dan pemantauan juga dilakukan di laluan tikus di laut menerusi Ops benteng," katanya ketika sidang media di Pasar Awam Larkin Sentral di sini, hari ini.

Ayob berkata, semua pegawai dan anggota polis juga sudah divaksin bagi memastikan keselamatan anggota barisan hadapan berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mengehadkan pergerakan dan sentiasa mematuhi SOP sepanjang sambutan Aidilfitri," katanya.



Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 11:23 AM