FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Aizat Sharif

Arau: Tiada pergerakan rentas negeri kenderaan secara besar-besaran dikesan berlaku di Perlis.

Tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) sempadan Perlis-Kedah di Jelempok di sini, mendapati jumlah kenderaan yang memasuki terkawal walaupun hari ini adalah cuti am sempena Hari Keputeraan Raja Perlis.

Pemerhatian juga mendapati keadaan keluar masuk kenderaan juga tiada pelanggaran rentas negeri dilaporkan berlaku.

Pengguna jalan raya yang memasuki Perlis didapati mematuhi undang-undang dengan mengemukakan dokumen rentas negeri yang lengkap ketika melalui SJR berkenaan.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad ketika dihubungi berkata, tiada pergerakan rentas negeri ke Perlis secara besar-besaran dilaporkan berlaku.

"Sekiranya ada, kita akan kompaun mereka dan mengarahkan untuk berpatah balik.

"Saya sudah pun memberikan arahan untuk memperketatkan pemeriksaan di semua SJR yang ada di setiap sempadan negeri," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut sentiasa melaksanakan Op Patuh di kilang dan asrama pekerja.

"Selain itu juga, kita ada melaksanakan Op Ziarah di mana polis juga membuat pemeriksaan kenderaan dari luar negeri Perlis di sekitar taman perumahan, stesen keretapi dan bas," katanya.

Beliau berkata, pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) juga turut dikerah melakukan 'snap check' menerusi SJR bergerak yang dilakukan menerusi peronda polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 3:19 PM