ANGGOTA polis membuat pemeriksaan setiap kenderaan yang hendak melalui Plaza Tol Gombak. FOTO Aizuddin Saad.
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan setiap kenderaan yang hendak melalui Plaza Tol Gombak. FOTO Aizuddin Saad.
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Polis mengeluarkan sebanyak 13 kompaun terhadap individu yang melakukan kesalahan rentas negeri dan daerah semasa perayaan Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua kompaun itu dikeluarkan sepanjang tempoh dua hari pada Khamis dan semalam.

"Antara alasan yang sering diberikan oleh pengguna jalan raya ketika rentas daerah adalah tidak tahu sempadan daerah selain mahu membeli barangan keperluan.

"Malah, ada juga yang menggunakan surat majikan untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) tetapi membawa ahli keluarga bersama," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ditanya sama ada polis mengesan laluan tikus yang dipercayai digunakan untuk melalui sempadan negeri antara Gombak dan Pahang, Arifai berkata, setakat ini tiada laluan itu dikesan berdasarkan pemantauan dilakukan polis.

Beliau berkata, polis sudah melakukan sekatan di Jalan Lama Gombak-Bentong menggunakan batu penghalang sejak Januari lalu.

Katanya, pihaknya melakukan pemeriksaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 2:30 PM