ANGGOTA AADK membuat serbuan di RKT Kesedar Chalil malam tadi. FOTO Ramli Ibrahim
ANGGOTA AADK membuat serbuan di RKT Kesedar Chalil malam tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seorang penagih dadah sanggup berendam dalam kolah dipenuhi air apabila rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, di sini, diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), malam tadi.

Bagaimanapun, lelaki terbabit berjaya dicekup apabila anggota AADK ternampak kepalanya yang separuh tenggelam dalam kolah berkenaan.

Pengarah AADK negeri, Rohayu Ahmad berkata, sebelum itu, 10 anggota AADK menyerbu rumah lelaki terbabit dalam operasi khas bermula 10 malam.

Beliau berkata, sebaik anggota meminta izin tuan rumah untuk mengesan penagih dadah itu yang dipercayai berada rumah berkenaan, lelaki terbabit terus melarikan diri.

"Anggota AADK mengejar lelaki itu sebelum dia menghilangkan diri di belakang rumah penduduk lain tidak jauh dari situ.

"Lelaki terbabit kemudian didapati berselindung dalam kolah dipenuhi air sebelum ditangkap," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Operasi hingga 3 pagi itu diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Kelantan, Zainal Abidin dan lima penagih termasuk tiga kes baharu serta dua kes berulang di RKT Kesedar Chalil, Paloh dan Jeram Tekoh, di sini, berjaya ditahan.

Rohayu berkata, pihaknya akan terus melakukan operasi serupa di beberapa daerah lain dalam masa terdekat bagi menangkap penagih dadah.

Katanya, ia termasuk mereka yang mengulangi ketagihan sebaik keluar daripada pusat pemulihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 2:27 PM