GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hamzah Osman


Langkawi: Lapan lelaki ditahan ketika 'bersahur' dengan dadah dalam dua serbuan, di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, polis menahan empat lelaki dalam serbuan di sebuah bilik sewa di Kampung Yooi, pada 12.30 tengah malam.

"Ketika serbuan, polis mengesan empat suspek berusia 22 hingga 28 tahun itu sedang duduk di atas lantai dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan menemukan heroin seberat 13.50 gram (g) dan syabu seberat 8.50 g di atas lantai dalam bilik itu," katanya dalam kenyataan, di sini.

Shariman berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki lain termasuk seorang remaja berusia 18 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Nyiur Chabang, di sini, pada 3 pagi.

"Dalam serbuan kedua itu, polis merampas heroin seberat 41.10 g dan syabu seberat 4.60 g atas tilam dalam bilik.

"Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, manakala saringan ujian air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah," katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39(B), Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 5:11 PM