GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Permulaan 2021, Malaysia masih mencatatkan jumlah jangkitan harian Covid-19 yang tinggi iaitu 2,068 kes direkodkan hari ini dengan tiga kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif 115,078 kes setakat ini dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 23,433 kes.

"Daripada jumlah kes baharu ini, dua kes import mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan tempatan pula 2,066 kes.

"Selangor masih mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu 776 kes. Daripada jumlah itu, 425 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 457 kes, Sabah merekodkan 254 kes manakala 18 kes dilaporkan berkaitan kluster di lokap, depot tahanan Imigresen dan penjara," katanya pada kenyataan hari ini.

Lapan belas kes itu membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Kluster Tembok Gajah (empat kes) dan Kluster Pagar Siput (satu kes).

Dr Noor Hisham berkata, 126 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 54 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga kes kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 474 kematian iaitu 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Dua kematian dilaporkan di Hospital Sungai Buloh membabitkan lelaki berusia 94 tahun dan wanita berusia 58 tahun.

"Kematian ketiga membabitkan seorang lelaki berusia 69 tahun di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, Negeri Sembilan.

"Kesemua pesakit terbabit mempunyai latar belakang penyakit kronik lain," katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, hari ini 2,230 kes pulih dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 91,171 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, 514 kluster dilaporkan di Malaysia setakat hari ini termasuk penambahan tiga kluster baharu hari ini.

"Jumlah kluster yang tamat pula adalah 290 kluster. Empat kluster yang tamat pada hari ini ialah Kluster Bukit Dalam, Kluster Chengal, Kluster Penjara Reman dan Kluster Avenue.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 224 kluster. Daripada jumlah ini, 54 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini," katanya.

Menurutnya, kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Metropolis (153 kes), Kluster Rawa Akasia (110 kes) dan Kluster Tapak Bina Residen (91 kes).

"Hari ini juga, terdapat dua kluster tempat kerja dan satu kluster saringan dilaporkan.

"Kluster Rawa Akasia membabitkan Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang. Kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif melalui saringan individu bergejala dan 117 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Selain itu, Kluster Jalan Perindustrian di Kulai, Johor Bahru, Johor melalui saringan bersasar di tempat kerja dan hasilnya, 20 kes dikesan positif manakala Kluster Rantau Semarak di Maran, Pahang dan Gombak, Selangor membabitkan saringan individu bergejala dan 18 individu dikesan positif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 7:19 PM