LEMBU ditinggalkan oleh suspek yang terkejut dengan kehadiran anggota di pangkalan haram Pos Rela, Jalan Kasban jam 4 pagi tadi. FOTO IHSAN PGA7
LEMBU ditinggalkan oleh suspek yang terkejut dengan kehadiran anggota di pangkalan haram Pos Rela, Jalan Kasban jam 4 pagi tadi. FOTO IHSAN PGA7
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Hasrat sekumpulan lelaki menyeludup sembilan ekor lembu bernilai RM54,000 tidak kesampaian apabila kegiatan mereka berjaya dipatahkan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di pangkalan haram Pos Rela, Jalan Kasban, di sini, jam 4 pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata, ketika kejadian anggota bertugas membuat intipan di dalam semak berdekatan sebelum mengenal pasti sekumpulan lelaki sedang membawa lembu menyeberangi sungai menggunakan perahu dari sempadan negara.

Katanya, anggota kemudian mengekori arah perjalanan lembu yang dibawa oleh sekumpulan suspek itu sebelum mereka bertindak melarikan diri ke semak berhampiran sebaik menyedari kehadiran anggota bertugas.

"Usaha mencari suspek dilakukan namun gagal, manakala pemeriksaan di lokasi menemui kesemua lembu terbabit yang masih dalam keadaan basah dan lemah selepas dibawa menyeberangi Sungai Golok.

"Selepas itu, anggota membawa kesemua lembu menaiki lori pasukan dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan serta siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011.

"Hasil siasatan awal mendapati, kesemua lembu berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran melalui Sungai Golok bagi pasaran tempatan seluruh Kelantan," katanya.

Azhari berkata, penyeludup membawa lembu dalam jumlah yang kecil bagi memudahkan mereka menarik kesemua haiwan itu ke lokasi sementara dengan berjalan kaki sebelum membawanya menaiki lori.

"Malah, kegiatan menyeludup lembu biasanya dilakukan pada waktu tengah malam atau awal pagi bagi mengelak bertembung dengan pihak berkuasa selain dilakukan dalam keadaan yang gelap gelita tanpa sebarang cahaya.

"Lembu yang baru dibawa naik ini biasanya ditempatkan dulu di lokasi transit oleh 'tentera semut' yang diupah untuk membawa ternakan sebaik dibawa naik di tebing sungai selain memastikan keadaan terkawal daripada pihak berkuasa.

"Taktik dan strategi golongan penyeludup tetap dapat dikesan anggota kami yang sudah biasa dengan 'pertukaran permainan' bagi memastikan kegiatan mereka terus berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 7:57 PM